Salam ukhuwah fillah.
Meneropong ke awanan. Di saat manusia
bertuhankan panorama dunia, pernahkah kita mengerti tentang tujuan
kita diciptakan di dunia ini. Manusia sememangnya alpa, lupa serta
lalai akan tanggungjawab terhadap agama serta Tuhannya. Sejarah telah
membuktikan, perkara ini telah menjadi tabiat yang telah diturunkan
dari generasi ke generasi.
Lihat sejarah Habil dan Qabil. Yang seorang
menaruh sebenar keimanan kepada Tuhannya. Yang seorang lagi menanam
kecintaan kepada harta serta nafsunya. Manakah yang patut dicontohi?
Tepuk dada, tanyalah iman kita.
“ Sesungguhnya kami telah
mengemukakan tanggungjawab amanah(Kami)
kepada langit dan bumi serta
gunung-ganang (untuk memikulnya),
maka mereka enggan memikulnya dan
bimbang tidak dapat menyempurnakannya
(kerana tiada persediaan untuk mereka
memikulnya) dan (pada ketika itu)
manusia (dengan persediaan yang ada
padanya) sanggup memikulnya.
(Ingatlah) sesungguhnya tabiat
kebanyakan manusia adalah suka
melakukan kezaliman embuat
perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
(Al-Ahzab:82)
Manusia umat akhir zaman, sedarkah kita
bahawa kita umat pilihan. Ketahuilah sebelum penciptaan dunia ini,
kita telah mengangkat sumpah bahawa akan menjadi khalifah di dunia
ini. Ingin diserah tugas ini kepada gunung-ganang, mereka tidak
sanggup. Ingin diberikan kepada jin, juga mereka tidak sanggup. Ingin
diberikan kepada pohonan, jawapan yang diberi tetap sama. Lalu
diberikan kepada manusia, lantas kita menerima amanah ini.
Akan tetapi, jika dilihat sekarang kita
bukan menjadi khalifah di muka bumi, malah menjadi pemusnah ciptaan
Yang Maha Suci ini. Sungguhlah kita berlaku zalim kepada ciptaanNya.
Menghancurkan segala yang diciptakan olehNya. Memusnahkan segala
amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Menghilangkan
kepercayaanNya kepada kita. Itulah sikap manusia di zaman ini.
Perpecahan dapat dilihat dengan ketara.
Yang kaya menindas yang miskin. Yang berkuasa menindas yang di
bawahnya. Kesatuan tidak lagi dapat dilihat. Amalan jahiliyyah terus
menjadi amalan sepanjang zaman. Hukum-hukum Allah semakin
dipinggirkan. Sedarkah kita? Bagaimana mahu memikul tanggungjawab?
Bagaimana mahu menjadi khalifah?
Sedarlah. Kita masih belum terlambat untuk
membela dunia ini. Kita masih mempunyai waktu untuk memperbaiki
kelemahan selagi belum menjelang Hari Perhitungan. Bersatu, asas
sesebuah kejayaan. Mengikut aturan Allah, menjadi punca kemenangan.
Bittaufiq wannajah.
Takbir!!! Allahu Akbar.
No comments:
Post a Comment