Salam ukhuwah fillah.
Alhamdulillah, dengan limpah dan kurniaNya, diizinkan jua
olehNya untuk ana mengisi ruangan yang telah ditinggalkan terlalu lama. Bukan kerana
malas, tetapi kesibukan yang melampau. Maklumlah, menjadi pelajar bukannya mudah.
Lebih-lebih lagi yang menetap di asrama macam ana.
Apabila diperkatakan tentang ketibaan imtihan, sesetengah
malahan hampir semua pelajar akan merungut. Tidak cukup dengan itu, ditambah
pula dengan keluhan. Memang. Memang berat rasanya apabila ditimpa imtihan. Ana sendiri
turut mengalaminya. Insyaallah, pada kesempatan ini ana akan berkongsi sedikit
tentang suatu tabiat atau fi’il yang biasa dilakukan oleh sesetengah pelajar
ketika menghadapi peperiksaan tanpa memikirkan musibahnya bersempena dengan
bulan peperiksaan pada kali ini.
في الامتحان حرام الغش
Ertinya : “Menipu di dalam peperiksaan adalah haram.”
Yang ingin diperkatakan dalam kenyataan itu bukan hanya isu meniru
semata. Dalam ungkapan itu sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat. Jika kita
perhatikan, perkataan الغش itu sendiri yang membawa maksud khianat atau menipu.
Ya, pengkhianatan pada suatu amanah yang telah diberikan. Penipuan yang bakal
mengundang kemurkaan Yang Maha Agung. Tidak kiralah apa jua bentuk penipuan
sama ada perbincangan ataupun pertanyaan yang dapat menghasilkan sebuah jawapan
yang bukan datang dari buah fikiran sendiri, ia tetap dikira menipu dan
hukumnya HARAM. Tiada istilah ‘musyawarah’ ketika imtihan sedang berlangsung.
Sabda Rasulullahi Sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Barangsiapa yang menipu ,
maka dia bukanlah dari golongan kami.”
(H.R Imam Bukhari)
Yang HARAM itu tetap HARAM dan yang DOSA itu tetap DOSA meskipun
jalannya terselit sedikit kebaikan.
Teringat ana pada kata-kata seorang murabbi ;
“Cuba antum
bayangkan dengan keputusan antum yang ‘cemerlang’ hasil daripada jawapan yang datang
bukan dari antum itu, antum gunakan untuk mencari pekerjaan. Adakah antum fikir
hasilnya itu halal buat antum sekalian? Fikir-fikirkanlah dan muhasabah diri….”
Yang menyedihkan ana, terdapat segelintir pelajar yang
tergamak membawa bahan ‘toyol’ mereka ke dalam tandas. Sudahlah meniru,
dibawanya pula ilmu itu ke tandas. Lebih teruk lagi apabila ‘toyol-toyol’
mereka itu mengandungi kalam-kalam suci dari Ilahi dan sabda-sabda Baginda yang
di sanjung tinggi dibawa ke tempat yang kotor lagi hina. Malahan ada yang selamba
membawa atau menyorokkan Kalamullah itu di bawah-bawah sinki dan celahan pam
tandas. Kepercayaan apa yang mereka imani? Luaran Islam, tapi sanggup
mempersendakan agamanya sendiri.
Ingatlah, tidak mendatangkan sedikit keuntungan pun jika
kalian berterusan bersikap begini. Ana menulis tentang isu ini pun bukan
bermakna ana tidak pernah meniru. Tapi ana masih berpendapat bahawa masih belum
terlambat untuk ana mengubah tabiat ini. Ana berazam pada imtihan kali ini
untuk tidak memohon syafaat daripada sahabat-sahabat seperjungan ataupun ‘toyol-toyol’
sebelum memohon syafaat daripada guru-guru.
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ
لِيَكُونُوا مِنْ
أَصْحَابِ السَّعِيرِ
“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka
anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak
golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang
menyala-nyala.”
(Fatir:6).
“Syaitan akan menguasai kamu apabila kamu berada
dalam 3 keadaan: ketika marah, ketika nafsu memuncak dan ketika lalai. Jagalah
diri kalian daripada dikuasai oleh syaitan. Mudah-mudahan kamu dirahmati Allah
swt.”
Insyaallah. Amin. Sekian, wassalam.
______________________________________________________________________________
p/s: Bertindaklah sebagai insan yang dikurniakan fikiran, jangan bertindak
mengikut hawa nafsu dan pujuk rayu syaitan laknatullahi ‘alaik. Mudah-mudahan sedikit
sebanyak entri ini dapat menyedarkan diri ana dan para pembaca.